ASMA BOLEH DIKAWAL, RAKYAT PERLU TAHU | ASTHMA MALAYSIA

by - October 01, 2020

Hola beautiful people,

Vainz ada satu cerita menarik untuk dikongsikan kepada anda semua mengenai PENYAKIT ASMA! Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang merupakan pesakit asma yang kadang-kadang itu memberi impak mengejut dan negatif kepada individu tersebut. Jadi kali ini, Vainz nak maklumkan kepada anda pembaca setia VainzStory mengenai KEMPEN “KAWAL LELAH SEBELUM PARAH” yang dilancarkan bagi mendidik pesakit asma mengenai kaedah tepat dalam mengawal sakit ini.

Kempen ini dilancarkan oleh Asthma Malaysia selaras dengan Hari Paru-Paru Sedunia 2020 dan situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia kini. Tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk memperkasakan pesakit asma dengan ilmu pengetahuan serta kaedah terbaik dalam kawalan asma mereka. Pada 22 September lalu, Vainz sempat menghadiri majlis pelancaran kempen tersebut yang dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam dan turut sama di pelancaran tersebut ialah Dr. Helmy Haja Mydin, Pakar Perunding Respiratori dan Pengasas Bersama Asthma Malaysia serta Dr. Sanjeev Panchal, Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia.

Antara pertubuhan yang turut serta dalam kempen ini adalah seperti Pertubuhan Torasik Malaysia (MTS), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga (FMSA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan sektor swasta di mana mempunyai matlamat yang sama iaitu meningkatkan kualiti hidup pesakit asma. Sektor-sektor swasta terdiri daripada AstraZeneca Malaysia, AA Pharmacy, BIG Pharmacy, Caring Pharmacy, Alpro Pharmacy, AMPM Pharmacy, HTM Pharmacy, Multicare Pharmacy, Straits Pharmacy dan Wellings Pharmacy.

Untuk pengetahuan anda, asma ialah penyakit radang yang dihidapi oleh 339 juta orang di seluruh dunia. Manakala di Malaysia pula terdapat hampir dua juta pesakit asma. Penyakit respiratori ini merupakan punca kematian kedua di hospital-hospital Kementerian Kesihatan, dan ini merupakan suatu perkara yang serius bagi rakyat Malaysia. Satu kajian tempatan Assessing Asthma Control level in Primary Care (ASCOPE) mendapati 8 daripada 10 pesakit di klinik merupakan pesakit asma ringan. Malangnya, kurang dari 50% mempunyai kawalan keseluruhan asma yang baik. Kewujudan COVID-19 turut menambah kebimbangan di kalangan pesakit asma, kerana asma yang tidak terkawal mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap komplikasi dari jangkitan virus tersebut.

Selain itu, Vainz juga mendapat maklumat bahawa baru-baru ini The Global Initiative for Asthma (GINA), telah mengemaskinikan garis panduan pengurusan asma yang terkini. Garis panduan tersebut tidak mengesyorkan penggunaan Short-Acting Beta2-Agonist (SABA) sahaja untuk melegakan simptom asma. Hal ini merupakan satu perubahan yang ketara untuk pengurusan asma dalam 30 tahun ini. GINA juga telah menegaskan bahaya penggunaan alat sedut SABA dengan berlebihan, iaitu 3 atau lebih kanister setahun.

Penggunaan SABA tanpa rawatan ubat kawalan untuk merawat keradangan asma telah dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan asma, kemasukan ke hospital serta kematian berkaitan dengan asma akibat keradangan saluran pernafasan yang teruk. Walaupun terdapat banyak bukti terhadap pengambilan SABA secara berlebihan, amalan pemberian preskripsi yang berlebihan dan kadar kebergantungan SABA masih berterusan.

Bagi menangani kebimbangan ini, Asthma Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa organisasi profesional dan entiti swasta untuk mendidik orang ramai dan pengamal profesional penjagaan kesihatan tentang kepentingan memutuskan rantaian penggunaan SABA secara berlebihan. Kempen kesedaran “Kawal Lelah Sebelum Parah” merupakan usaha yang memberi tumpuan tentang pendidikan awam dan memperkasakan individu dalam kawalan asma masing-masing.

“Penggunaan atau kebergantungan berlebihan kepada SABA ataupun alat sedut pelega akan meningkatkan kadar morbiditi dan kematian. Pesakit yang menggunakan alat sedut pelega lebih daripada dua kali seminggu dianggap sebagai mempunyai kawalan asma yang kurang baik dan ini akan meningkatkan risiko serangan asma yang teruk. Justeru itu, pemahaman terhadap alat sedut pengawal sebagai rawatan keradangan adalah amat penting. Jika pesakit hanya menggunakan alat sedut pelega, keadaannya akan berpanjangan dengan risiko komplikasi.” – ujar Dr. Helmy Haja Mydin, Pakar Perunding Respiratori dan Pengasas Bersama Asthma Malaysia.

Menurut Dr Helmy, walaupun tiada penawar, asma merupakan sesuatu keadaan yang boleh dikawal. Kawalan asma yang baik dikenalpasti dengan pengurusan simptom yang baik. Ini termasuk penggunaan alat sedut pelega tidak melebihi 2 kali seminggu, tidak mempunyai simptom asma pada waktu malam dan tiada batasan untuk tahap aktiviti normal. Namun begitu, disebabkan ketidakpatuhan dan penggunaan rawatan secara tidak betul, hanya 6% pesakit mempunyai kawalan asma yang baik.

Dr Helmy juga berkata “Ini merupakan kali pertama GINA menyarankan penggunaan bersama ubat pelega dan ubat pengawal dalam rawatan simptom asma. Ini bukan sahaja membantu pesakit berasa lega, malah mula merawat keradangan di peringkat awal. Kajian juga mendapati bahawa rawatan ini telah mengurangkan dua pertiga risiko serangan asma yang teruk, berbanding dengan rawatan SABA sahaja. Dengan adanya panduan baru ini, amat penting bagi kita untuk memperkasakan pesakit asma dengan pengetahuan ini agar mereka dapat mengawal dan mengurus keadaan mereka dengan lebih baik,”

Di samping kempen ini, AstraZeneca Malaysia juga turut memberikan sokongan kepada usaha lain dalam meningkatkan pengurusan asma. Ini termasuk meningkatkan kemampuan profesional penjagaan kesihatan melalui siri webinar yang berterusan dan modul e-pembelajaran yang dikenali sebagai program PACE (Primary Asthma Care Excellence). Selain risalah pendidikan mengenai penyakit asma terkini juga disediakan dan diberi kepada pesakit asma melalui program Breathe EaSY.

Dr. Sanjeev Panchal, Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia semasa mengulas kerjasama dalam kempen ini berkata “Kami menyedari terdapat jurang secara keseluruhan dalam penjagaan pengurusan asma dan ini adalah penting untuk berkerjasama dengan organisasi yang tertentu bagi mewujudkan ekosistem holistik bersepadu yang berfaedah dan menyokong pengalaman pesakit secara keseluruhan. Kempen ini merangkumi sokongan untuk pesakit dan profesional kesihatan menerusi diagnosis, rawatan dan pencegahan.”

“Kerjasama bersama Asthma Malaysia ini sangat bermakna kerana ia membolehkan kita mencipta ekosistem yang mengutamakan pesakit untuk menangani jurang dalam rawatan pesakit asma. Kerana pesakit adalah keutamaan kami, kami menyokong sepenuhnya kempen 'Kawal Lelah Sebelum Parah' kerana kami percaya bahawa kempen kesedaran ini adalah cara yang berkesan untuk membantu dan memberikan panduan kepada pesakit asma dalam pengurusan asma mereka. Kami ingin memperkasakan dan membantu mereka untuk memainkan peranan yang aktif dalam pengurusan kesihatan mereka,” tambah Dr Sanjeev.

MARI BERSAMA-SAMA KITA MENGAWAL PENYAKIT ASMA DENGAN KEMPEN INI !

➰ ➰ ➰ ➰ ➰ ➰ ➰ ➰ ➰ ➰

Asthma Malaysia 
Gene: 016-435 2265 

You May Also Like

0 comments